Latar Belakang MPM

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang ditubuhkan pada 1 Februari 1980 di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia [Akta 225] ialah sebuah badan berkanun yang beroperasi di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia. Majlis perasmian penubuhan MPM telah disempurnakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu, iaitu YB Dato' Musa bin Hitam pada 22 April 1980.

Matlamat penubuhan MPM adalah untuk mengelolakan peperiksaan-peperiksaan tertentu dan semua perkara lain yang perlu atau bersampingan dengan peperiksaan-peperiksaan itu. Peperiksaan yang diwartakan ialah peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mula dilaksanakan pada tahun 1982 untuk menggantikan peperiksaan Higher School Certificate (HSC) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) yang dikendalikan oleh University of Cambridge Local Examinations Syndicate (UCLES).

Selepas pengambilalihan kedua-dua peperiksaan tersebut oleh MPM, nama peperiksaan STP dan HSC telah ditukar kepada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Selain itu, penubuhan MPM juga bertujuan untuk merealisasikan pengendalian peperiksaan tersebut dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya. Hal ini bersesuaian dengan pelaksanaan dasar menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dari peringkat pendidikan rendah hingga peringkat pendidikan prauniversiti, iaitu tingkatan enam.

Sejak MPM ditubuhkan, bidang tugas MPM yang pada mulanya hanya mengendalikan peperiksaan STPM telah diperluas. Pada tahun 1999, MPM telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan Malaysian University English Test (MUET). Ujian ini wajib diduduki oleh semua pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Mulai tahun 2003, MPM telah diamanahkan untuk mengendalikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi anggota perkhidmatan pelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) sehingga peperiksaan ini dimansuhkan pada 1 Januari 2011. Di samping itu, MPM juga telah mengendalikan Malaysian Information Technology Examination (MITPE) bagi pihak Multimedia Technology Enhancement Operations Sdn. Bhd. (METEOR). Peperiksaan ini membolehkan para graduan dan golongan profesional IT mendapat pengiktirafan dalam kemahiran IT di seluruh dunia. Mulai tahun 2008, MPM mengelolakan ujian Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) bagi pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Ujian psikometri yang diadakan dua kali setahun ini bertujuan untuk menilai sahsiah pelajar dan graduan yang ingin mengikuti program pengajian pendidikan untuk menjadi pendidik. Mulai tahun 2009 pula, MPM mengelolakan ujian Malaysian University Selection Yearly Inventory (MUnSYI) bagi pihak Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 2010, MPM telah menandatangani memorandum perjanjian dengan Malaysian Financial Planning Council (MFPC) untuk mengendalikan peperiksaan bagi pihaknya, iaitu Shariah Registered Financial Planner, Shariah Registered Financial Planner Capstone, dan Shariah Registered Financial Planner Ad-hoc, dan Registered Financial Planner Capstone.