|
|
|
Latar Belakang
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ialah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang ditubuhkan pada 1 Februari 1980, di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta 225, Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980. Majlis pelancaran telah dilakukan pada 22 April 1980 oleh YB Dato’ Musa Hitam, Menteri Pelajaran pada ketika itu.
MPM ditubuhkan dengan matlamat seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 7, Akta 225, iaitu untuk mengelolakan, tertakluk kepada dan mengikut akta ini, peperiksaan-peperiksaan tertentu dan semua perkara lain yang perlu atau bersampingan dengan peperiksaan-peperiksaan itu. Peperiksaan yang diwartakan ialah peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula dengan peperiksaan tahun 1982 dan Malaysian University English Test (MUET) bermula dengan ujian sesi Disember 1999.
Peperiksaan STPM adalah bagi menggantikan peperiksaan Higher School Certificate (HSC)/Sijil Tinggi Persekolahan (STP) yang dikelolakan oleh University of Cambridge Local Examinations Syndicate. MUET pula adalah ujian yang mengukur pencapaian dan kemahiran berbahasa Inggeris pelajar yang akan memasuki Institut Pengajian Tinggi. Ujian ini wajib diambil oleh semua pelajar STPM, diploma, matrikulasi atau program prauniversiti yang ingin memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk mengikuti program pengajian ijazah pertama.
Dengan pindaan peruntukan dalam Akta 225, MPM telah membantu Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengurus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), iaitu peperiksaan yang diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) mulai tahun 2003. Peperiksaan ini adalah untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Kumpulan Sokongannya.
MPM juga menjalinkan kerjasama dengan pihak METEOR untuk mengendalikan peperiksaan Malaysian Information Technology Professional Examination (MITPE) mulai tahun 2005. Peperiksaan ini adalah satu instrument untuk mengukur kemahiran individu dalam bidang teknologi maklumat.
|
|
|
|
|
MPM telah dianugerahi Sijil MS ISO 9001:2000 pada 3 Mac 2005 |
|
|
|