Perutusan Ketua Eksekutif

 


PERUTUSAN KETUA EKSEKUTIF MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA


Kerajaan kini sering menekankan tentang usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, khususnya sistem penyampaian perkhidmatan melalui Sistem Kerajaan Elektronik. Justeru, MPM sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengendalikan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET) khususnya, turut mengorak langkah bagi menyahut cabaran ini. Ini juga  adalah selaras  dengan Perancangan  Senario  MPM untuk menjadi sebuah badan korporat menjelang tahun 2025. Lantaran itu, MPM telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan portal ini bagi menggantikan laman web MPM.  Kewujudan portal MPM ini adalah sebagai alat penghubung secara maya bagi menyampaikan segala maklumat tentang tadbir urus MPM dan pengurusan peperiksaan/ujian yang  dikendalikan oleh MPM. Ini adalah juga untuk memastikan saluran penyampaian perkhidmatan ini diperkasakan agar lebih mesra pelanggan, mudah dicapai,  bermaklumat, tepat, dan terkini.

Dengan semua maklumat di hujung jari dan teknik terkini yang digunakan dalam membangunkan portal ini,  pelanggan MPM bukan sahaja boleh akses kepada maklumat yang dikehendaki, tetapi juga boleh memuat turun maklumat berkenaan. Urusan yang berkenaan juga boleh dibuat melalui aplikasi dalam talian yang pastinya akan memudahkan dan mempercepatkan urusan pelanggan.  Antara kemudahan sistem dalam talian yang disediakan dalam portal MPM ini ialah sistem pendaftaran peperiksaan/ujian, penyemakan status pendaftaran peperiksaan/ujian, penyemakan keputusan peperiksaan/ujian, aduan dan maklum balas pelanggan serta borang-borang yang berkaitan dengan peperiksaan/ujian.  

Sebagai sebuah organisasi yang berusaha untuk merealisasikan hasrat pentadbiran "paperless" atau setidak-tidaknya "less paper", portal ini juga menjadi platform bagi urusan yang berkaitan dengan pengawasan pusat peperiksaan/ujian dan pemeriksaan skrip jawapan secara paparan pada skrin.  

 

 

MPM sedia maklum bahawa semua program yang disebut tadi adalah untuk memudahkan semua pihak berurusan dengan organisasi ini. Dalam memenuhi hasrat tersebut, MPM sedia menerima teguran kerana MPM sentiasa menganggap bahawa sebarang aduan dan teguran yang diterima merupakan nilai tambah yang bermakna bagi membantu MPM mengenal pasti kelompangan yang wujud, seterusnya berusaha ke arah menambah baik dan melonjakkan perkhidmatan MPM.    

Selamat melayari Portal MPM.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



Ketua Eksekutif
Majlis Peperiksaan Malaysia